Oleh : Srinarawie Bidzah / Foto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Perpaduan Islam Ke-6
RIYADH, ARAB SAUDI, Jumaat, 14 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) berkenan berangkat ke Athletes Village, Princess Noural University bagi sesi perjumpaan bersama pasukan lawan pedang negara ke Sukan Perpaduan Islam Ke-6, 2025 (6th Islamic Solidarity Games-ISG 2025) yang berlangsung bermula pada 7 hingga 21 November 2025 di Riyadh, Arab Saudi.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dijunjung oleh Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD), Awang Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan beramah mesra dan memberikan kata-kata semangat kepada atlet-atlet Sukan Lawan Pedang negara.
DYTM kemudian berkenan bergambar ramai bersama kontingen negara dan kemudian menandatangani lembaran kenangan “wall of fame" di Athlete Village, Princess Noural University.
Pasukan lawan pedang negara telah tiba di Riyadh, Arab Saudi pada jam 10.15 malam waktu tempatan pada 13 November 2025, terdiri daripada dua atlet, iaitu 1591 Lt (U) Hajah Anis Sabrina binti Haji Yahya; dan Awang Mohammad Haziq bin Asahrin serta seorang jurulatih, Awang Rayendra Yoshea Poerawinata.
Kedua-dua atlet berkenaan akan bertanding masing-masing dalam acara Women's Individual Sabre dan Men's Individual Sabre.
Pada Sukan Perpaduan Islam kali ini, NBD menyertai sebanyak tiga acara sukan, iaitu lawan pedang, karate dan angkat berat.